1. Feudalisme adalah satu bentuk
kerajaan yang terbentuk di Eropah Barat pada abad ke-9 M, selepas
perpecahan Empayar Charlemangne dan berlanjutan sehingga abad ke-13 Masihi.
Sistem pemerintahan ini wujud apabila kuasa kerajaan jatuh ke tangan orang
persendirian
2. Secara umumnya Sistem Feudal
(Feudalisme) bolehlah didefinisikan sebagai satu
bentuk kerajaan, yang kuasa politiknya dikuatkuasakan secara
tempatan oleh individu persendirian tetapi bukan oleh kerajaan pusat.
3. Konsep
Feudalisme pertama kali digunakan pada kurun ke- 17 bagi
merujuk kepada sistem politik di Eropah pada zaman pertengahan yang memeperlihatkan
hubungan yang saling memerlukan di antara tuan tanah (lords),
orang biasa atau petani (Vassals) dan tanah (fiefs).
Dengan kata lain, dalam sistem ini petani bekerja dan menjadi tentera untuk
melindungi seorang bangsawan dan sebagai balasan mereka boleh mengusahakan
tanah bangsawan tersebut. Walaupun istilahnya diambil daripada perkataan
latin feodum atau feudum (fief), namun konsep feudalism dan sistemnya
bukanlah satu sistem politik formal pada
zaman itu.
4. Pada asasnya, sistem ini
memperlihatkan hubungan peribadi yang erat antara tuan tanah
atau lord dengan Vassal atau pemegang tanah (petani)
yang disyaratkan untuk memberi taat setia kepada lord. Satu
pihak akan memberi perlindungan sementara
satu pihak yang lain memberi perkhidmatan ketenteraan demi
keselamatan raja. Mereka juga di beri gelaran tertentu
sebagai mengakui sumbangan tersebut. Selain
aspek ketenteraan dan keselamatan, pihak yang dikenali sebagai feudotari
juga dikehendaki menyediakan keperluan tertentu termasuklah
membekalkan buruh untuk sistem kerah. Hubungan ini menentukan
kedua-dua pihak memperoleh faedah dan keuntungan bersama.
CIRI-CIRI
MASYARAKAT FEUDAL
1.
Vassalage atau hubungan bertimbal balas yang di buat melalui
persetiaan seseorang hulubalang sebagai pengikut (Vassal) kepada seorang
hulubalang lain, yang di angkat sebagai tuan (lord) kepada Vassal tersebut
disebabkan ia lebih kuat atau lebih berpengaruh. Hubungan ini merupakan satu bentuk
hubungan persendirian yang bersifat kehormat kerana ia melibatkan perjanjian
antara dua orang Individu yang terdiri daripada kelas hulubalang sahaja (Carl
Stephenson, 1956:5-10). Melalui hubungan ini, seseorang Vassal dan lord akan
diikat dengan fungsi dan tanggungjawab tertentu, iaitu memberikan ketaatan dan
perkhidmatan, khususnya ketenteraan oleh Vassal kepada lordnya manakala lord
pula akan berfungsi memberi penjagaan dan perlindungan kepada Vasalnya (Azmi
Arifin, 2006:55).
2.
Ciri yang kedua ialah fief iaitu sejenis harta feudal, kebiasaannya berupa
tanah yang diberikan oleh seseorang lord kepada vassalnya bertujuan untuk
mengikat persetiaan tersebut. Oleh kerana tujuan utama pemberian fief adalah
untuk mendapatkan khidmat ketenteraan, maka fief juga dikenali sebagai military
fief ( Azmi Ariffin,1992:55). Bagi sesetengah pengkaji, fief tidak semestinya
berupa tanah sahaja. Sebaliknya pangkat, jawatan, kedudukan dan sebagainya
boleh juga diberikan sebagai bentuk fief. Menurut Strayer (1953) Terdapat golongan
vassal yang tidak mempunyai sebarang tanah (landless knights) merupakan satu
fenomena biasa yang dapat ditemui di Eropah Barat pada kurun ke-11. Kewujudan
golongan ini meskipun semakin berkurangan tetapi tidak pula lenyap pada
kurun-kurun selepasnya. Tugas lord ialah menjaga pengikutnya seperti menampung
segala keperluan sara hidup pengikutnya kerana Vassal merupakan hulubalang
sepenuh masa dan tidak terlibat dalam aktiviti ekonomi. Di Eropah Barat pada
zaman pertengahan, kegiatan ekonomi yang berkaitan perdangangan telah terjejas
teruk akibat kekacauan, serangan luar dan peperangan. Keadaan ini menyebabkan
raja-raja yang berfungsi sebagai Lord menghadapi masalah untuk membayar upah
dalam bentuk wang. Ketika itu hanya terdapat dua cara yang membolehkan
seseorang Lord melaksanakan tugasnya. Pertama seseorang Lord akan menempatkan
seseorang vassal di istana-istananya dengan menyedaikan makanan, pakaian,
senjata atau sebarang keperluan yang dikehendakinya. Kedua ialah dengan
memberikannya tanah sebagai sumber pendapatan yang boleh menampung keperluan
hidupnya. Cara ini amat popular kerana dapat menarik minat golongan hulubalang
yang berkuasa kerana ia melibatkan jaminan dari segi kedudukan politik, ekonomi
dan sosial. Seseorang lord yang tidak mampu mengikat kesetiaan seseorang vassal
melalui pemberian tanah biasanya akan mendapati dirinya kehilangan sokongan dan
pengaruh, manakala seseorang vassal yang tidak memiliki sebarang tanah
sekalipun mempunyai taraf sosial yang lebih tinggi daripada seorang petani
kaya, tidak mempunyai peranan dari segi politik dan pemerintahan. Dengan itu
mereka akan berada pada kedudukan sosial yang lebih rendah dalam hierarki kelas
hulubalang atau bangsawan yang menguasai tanah. Dari sudut ini kita bolehlah
mengatakan pemilikan tanah akan menentukan status dan kedudukan seseorang pada
zaman feudal di Eropah Barat.
3.
Ciri Feudal yang ketiga ialah ketenteraan, iaitu wujudnya
kelas-kelas hulubalang dan pelaksanaan khidmat-khidmat ketenteraan persendirian
oleh vassal kepada lord sebagai balasan penerimaan fief. Oleh kerana tujuan
asas hubungan vassalage-fief adalah mewujudkan satu organisasi ketenteraan yang
efektif, maka perkhidmatan utama yang diberikan oleh vassal kepada lord ialah
perkhidmatan ketenteraan, sedangkan perkhidmatan-perkhidmatan lain termasuklah
yang melibatkan aspek-aspek ekonomi hanya merupakan perkhidmatan sampingan
sahaja.Oleh sebab itu kebanyakan pengkaji sejarah feudalism bukan sahaja di
Eropah Barat, malah di Jepun, China, India, Timur Tengah dan sebagainya berpendapat
institusi feudal tidak mungkin wujud tanpa adanya aspek ketenteraan.Malah
perkembangan feudalisme bukan sahaja dikaitkan dengan wujudnya organisasi
ketenteraan semata-mata tetapi juga dikaitkan dengan kemunculan kelas-kelas
tentera elit baru dan perkembangan teknologi peperangan. Misalnya perkembangan
feudalism di Eropah Barat dikaitkan dengan kemunculan golongan knights dan
chivalry, di Jepun kelas samurai dan knight-archer, cataphracts di Byzantium
dan Iran, Chariot-fighters di Timur Tengah dan China dan sebagainya lagi
(Strayer, 1953:9). Kemunculan kelas-kelas tentera elit baru yang lebih
berdisiplin, terlatih dan mempunyai peralatan yang jauh lebih mahal telah
menjadikan khidmat ketenteraan pada zaman feudal di eropah hanya mampu
dimonopoli segolongan kecil kelas bangsawan sahaja, terutama dikalangan mereka
yang menguasai tanah. Dari segi sosial perkembangan ini telah meningkatkan lagi
jurang perbezaan yang sedia wujud antara kelas hulubalang dengan golongan
rakyat biasa yang terikat dengan kegiatan pertanian.
4.
Ciri yang keempat ialah pemilikan kuasa pemerintahan dan hak-hak
perundangan persendirian yang dimiliki dan dilaksanakan oleh lord terhadap vassalnya.
Kuasa pemerintahan ini juga meliputi penduduk bukan vassal yang berada di atas
tanah-tanah kepunyaan lord, yang biasanya dilaksanakan oleh sebuah kerajaan.
Selain menguasai tanah, seseorang lord juga turut berkuasa ke atas sumber
ekonomi, pentadbiran, pelaksanaan undang-undang, mengutip cukai, mengawal
institusi ketenteraan dan institusi kewangannya.Pemusatan kuasa ketenteraan,
polittik dan ekonomi ditangan seseorang lord telah menggalakkan perkembangan
wilayah-wilayah feudal yang berdaulat dan berautonomi. Jika berlaku
pertelingkahan antara lord dengan raja, golongan vassal yang terikat dengan perjanjian
feudal biasanya akan memberikan kesetiaan penuh kepada lord yang berada di
atasnya berbanding kepada seseorang raja yang tidak mempunyai hubungan secara
langsung dengannya. Walau bagaimanapun corak hubungan ini bergantung kepada
taraf sosial (prestij) dan kedudukan raja itu sendiri. Jika baginda seorang
pemerintah yang berpengaruh, maka kedudukan lord mungkin sedikit sebanyak dapat
dikawalnya. Tetapi kebiasaannya pada zaman feudal, kedudukan seseorang raja
amat lemah dan baginda selalunya tidak mempunyai kekuatan untuk mengawal
pembesar feudal. Bagi Strayer (1953) aspek pemilikan kuasa dan hak-hak
perundangan golongan lord ini merupakan ciri feudalisme yang paling asas dan
terpenting. Walau bagaimanapun tanpa wujudnya hubungan vassalage-fief dan perkembangan
aspek ketenteraan, pemilikan kuasa dan hak-hak perundangan itu tidak mungkin
diperolehi.
Berdasarkan
keempat-empat ciri tersebut, feudalisme bolehlah ditakrifkan sebagai satu
bentuk organisasi yang diwujudkan oleh satu bentuk hubungan persendirian yang
diikat antara seseorang individu dari kelas hulubalang dengan individu daripada
kelas hulubalang yang lain, iaitu antara lord dan vassal. Melalui ikatan
vassalage - fief, seseorang vassal dikehendaki menjaga dan melindungi
vassalnya.Susunan ini kemudiannya menjadi asas kepada keseluruhan struktur
politik, pemerintahan, perundangan dan kemasyarakatan yang wujud dalam setiap
wilayah atau negara yang dikawal oleh corak hubungan tersebut (Azmi
Ariffin,2002: 59)
SUSUN LAPIS MASYARAKAT FEUDAL
SUSUN LAPIS MASYARAKAT FEUDAL
1. Masyarakat feudal boleh dibahagikan
kepada dua golongan iaitu golongan pemimpin dan golongan yang dipimpin.golongan
pemimpin terdiri daripada raja, pembesar (bangsawan), dan golongan yang
dipimpin ialah rakyat atau petani.
2. Raja mempunyai kuasa mutlak dan
berada dikedudukan paling tinggi. Di bawah raja, terdapat beberapa
lapisan para bangsawan yang menjadi vassalnya.
3. Bangsawan lapisan pertama yang
memiliki tanah (fief) secara langsung daripada raja dikenali sebagai tenants-in-chief.Bangsawan
lapisan pertama itu membahagikan fief mereka kepada bangsawan lapisan kedua
dikenali sebagai subinfeudation.
4. Bangsawan lapisan kedua seterusnya
mungkin membahagikan fief mereka kepada bangsawan lapisan ketiga.Setiap
bangsawan berkuasa ke atas petani yang menetap di fiefnya.
5. Kelas paling bawah sekali ialah
kaum tani (serf). Kaum tani semuanya miskin dan tidak berpelajaran. Hak-hak
mereka sedikit tetapi tugas mereka banyak.Kerap kali mereka ini tidak diberi
layanan yang memuaskan oleh tuan-tuan mereka.Hampir kesemua petani terdiri
daripada golongan serf yang bertaraf antara orang bebas dengan
hamba.Peluang untuk menjadi kaya dan masyhur dengan usaha sendiri sangat
tipis. Seseorang hamba akan menjadi hamba seumur hidup dan anak-anak
mereka juga akan menjadi hamba.
6. Sebagai kesimpulannya dalam pemerintahan
bercorak feudal ini, wujud satu hierarki yang jelas antara feudatories dan
subfeudatories di bawah pemerintahan seorang raja.
No comments:
Post a Comment