PENGENALAN

ASSALAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA. Blog akademik mata pelajaran sejarah untuk membantu para pelajar tingkatan 6 terutamanya pelajar SMK KUBONG LIMBANG, di samping dapat memberi maklumat-maklumat yang berkaitan mata pelajaran sejarah yang terkini berdasarkan sukatan pelajaran yang baharu iaitu SISTEM MODULAR yang mula dilaksanakan pada tahun 2012.Bahan dan nota yang ada adalah dalam bentuk yang ringkas dan mudah.Semoga dapat memberi manfaat kepada semua pelajar dan guru sejarah yang sedia berkongsi maklumat dan ilmu pengetahuan.















Wednesday, July 17, 2013

MASYARAKAT FEUDAL ENGLAND

Selepas kejatuhan  Empayar Rom, menjelang tahun 800 Masihi,  muncul satu      institusi politik yang dikenali sebagai feudalisme di Negara- negara Eropah      Barat termasuklah di England. Dalam sistem feudal terdapat  satu susunan       tanggungjawab yang kompleks dan obligasi di kalangan individu daripada      kelas terbawah (serf) kepada kelas teratas iaitu raja. Setiap serf memberi   sumpah kesetiaan kepada golongan yang lebih tinggi daripada mereka.    Golongan yang lebih tinggi ini ialah knight (pahlawan),  bangsawan (baron,  duke,lord) dan akhir sekali ialah raja.Setiap bangsawan  berjanji untuk melindungi mereka yang telah bersumpah untuk bersatu dengannya  (Sivachandralingam, et.al.1999:93). Dalam   sistem  feudal  di England,  kebergantungan sangat kuat antara seorang raja dengan golongan bangsawan (lord) yang dilantik sendiri oleh  raja.

Golongan bangsawan mempunyai hubungan secara langsung dengan raja. Jika seseorang raja memerlukan tenaga buruh untuk melakukan sesuatu  kerja atau memerlukan tentera maka golongan petani (serf) akan dikerah untuk memenuhi keperluan tadi. Jadi dalam sistem feudal di England  golongan petani (serf) menjadi subjek utama dan tidak mempunyai sebarang hak. Dalam sistem feudal, tanah menjadi elemen utama iaitu semua tanah adalah milik raja. Golongan bangsawan telah dikurniakan tanah (wilayah) oleh   raja. Tanah menjadi punca kekayaan bagi raja dan golongan bangsawan.

Ciri-ciri Sistem Feudal di England

1.  Hubungan bertimbal balas atau hubungan dua hala.

Hubungan bertimbal balas (vassalage) yang dibuat melalui persetiaan seseorang hulubalang sebagai pengikut (vassal) kepada seseorang hulubalang lain yang diangkat sebagai tuan (lord) kepada vassal tersebut. Melalui hubungan ini, seseorang vassal dan lord akan diikat dengan fungsi dan tanggungjawab-tanggungjawab tertentu. Golongan vassal akan memberikan ketaatan dan perkhidmatan terutamanya dalam bidang ketenteraan kepada lordnya. Sebagai timbal balas golongan lord pula akan memberikan penjagaan dan perlindungan kepada vassalnya.

2.  Harta feudal yang kebiasaannya berupa tanah.

Ciri yang kedua iaitu harta feudal (fief), kebiasaannya berupa tanah yang menjadi punca kekayaan kepada tuan tanah iaitu raja dan golongan bangsawan. Tanah dikurniakan oleh raja kepada seseorang lord kemudian lord pula akan memberkan tanah kepada vassalnya bertujuan untuk mengikat persetiaan. Oleh kerana tujuan utama pemberian fief adalah untuk mendapatkan khidmat ketenteraan, maka fief juga dikenali sebagai military fief. Fief tidak semestinya berupa tanah sahaja, sebaliknya pangkat, jawatan, kedudukan dan sebagainya boleh juga diberikan sebagai bentuk fief. Pemberian fief berupa tanah dapat  menarik minat golongan hulubalang yang berkuasa. Golongan serf tidak memiliki tanah, tetapi dibenarkan untuk bercucuk tanam dan menternak binatang di atas tanah yang dibenarkan oleh tuan tanah.

3.  Ketenteraan.

Ciri feudalisme yang ketiga ialah ketenteraan, iaitu wujudnya kelas-kelas hulubalang dan perlaksanaan khidmat-khidmat ketenteraan persendirian oleh vassal kepada lord sebagai penerimaan fief. Oleh kerana tujuan asas hubungan vassalage-fief adalah mewujudkan satu organisasi ketenteraan yang efektif. Perkhidmatan utama yang diberikan oleh vassal kepada lord ialah perkhidmatan ketenteraan. Perkhidmatan-perkhidmatan lain termasuklah yang melibatkan aspek-aspek ekonomi hanya merupakan perkhidmatan sampingan sahaja.Oleh kerana sistem feudal dikaitkan dengan aspek ketenteraan maka di Eropah atau England wujudnya golongan tentera elit seperti knights dan chivalry yang lebih berdisiplin, terlatih dan mempunyai peralatan yang mahal.

4.  Kuasa pemerintahan dan hak-hak perundangan persendirian.

Ciri feudalisme keempat ialah kuasa pemerintahan dan hak-hak perundangan persendirian yang dimiliki dan dilaksanakan oleh lord terhadap vassalnya serta ke atas rakyat yang berada di atas tanah-tanah kepunyaan lord. Selain menguasai tanah, seseorang lord juga turut berkuasa ke atas sumber ekonomi, pentadbiran, pelaksanaan undang-undang, mengutip cukai, mengawal institusi ketenteraan dan institusi kewangannya.

Struktur Masyarakat Feudal di England.

1.  Masyarakat di England atau Eropah terbahagi kepada dua golongan iaitu pemimpin dan yang dipimpin. Golongan pemimpin terdiri daripada raja dan bangsawan. Susunan masyarakat feudalnya berbentuk piramid iaitu raja atau pemimpin utama terletak di lapisan paling tinggi. Di bawahnya terdapat beberapa lapisan para bangsawan yang menjadi pengikut raja atau vassal yang memberi kesetiaan kepada raja. Golongan bangsawan ini terbahagi kepada dua iaitu lapisan pertama dan kedua.

2.  Golongan Bangsawan lapisan pertama yang memiliki tanah (fief) secara langsung daripada raja dikenali sebagai tenants-in-chief. Bangsawan lapisan pertama pula membahagikan fief mereka kepada bangsawan lapisan kedua. Proses ini dikenali sebagai subinfeudation . Bangsawan lapisan ke dua  seterusnya membahagikan fief mereka kepada bangsawan yang lebih rendah daripadanya  atau golongan petani. Setiap  bangsawan (Vassal) berkuasa ke atas petani yang menentap dififnya. Hampir kesemua petani terdiri daripada serf yang bertaraf antara orang bebas dengan hamba (Ranjit Sing Malhi, 1993: 91).

3.  Golongan yang dipimpin pula merupakan golongan rakyat biasa yang menetap di wilayah kekuasaan golongan bangsawan. Rakyat biasa ini dikenali sebagai serf iaitu golongan bukan hamba tetapi tidak bebas sepenuhnya. Mereka terikat kepada pemimpin atau tuan mereka dan tidak bebas bergerak atau berpindah dari satu tempat ke tempat lain. Mereka bergantung kepada golongan bangsawan untuk mendapatkan mata pencarian. Terdapat juga petani bebas yang menyewa tanah daripada golongan bangsawan ( Ranjit Sing Malhi, 1993: 91).

4.  Selain itu terdapat golongan paderi yang merupakan satu kelas yang berasingan. Sebilangan besar daripada mereka terdiri daripada  daripada golongan  bangsawan yang mempunyai tanah sebagai Vassal dalam sistem feudal (Ranjit Singh Malhi, 1993:91).Menurut Ferguson dan Brunn, pada abad ke-12 dan ke-13, hampir 1/3 daripada tanah yang boleh digunakan di Eropah barat di kawal oleh greja. Bishop, abot dan pegawai-pegawai yang memegang jawatan penting dalam gereja biasanya adalah golongan bangsawan.Justeru itu mereka sering campur tangan dalam pemilihan jawatan bishop dan jawatan-jawatan lain untuk salah seorang dari ahli keluarga mereka. Akibatnya pegawai-pegawai greja terdiri daripada golongan yang mementingkan meterial dan mempunyai dua tanggungjawab (Sivachandralinggam, 1996:70).


KONSEP MASYARAKAT FEUDAL

1.    Feudalisme adalah satu bentuk kerajaan yang terbentuk di Eropah Barat  pada abad ke-9 M, selepas perpecahan Empayar Charlemangne dan berlanjutan sehingga abad ke-13 Masihi. Sistem pemerintahan ini wujud apabila kuasa kerajaan jatuh ke tangan orang persendirian 

2.   Secara umumnya Sistem Feudal (Feudalisme)  bolehlah didefinisikan sebagai satu bentuk   kerajaan, yang kuasa politiknya dikuatkuasakan secara tempatan oleh individu persendirian tetapi  bukan oleh kerajaan pusat.

3.     Konsep Feudalisme   pertama kali digunakan pada kurun ke- 17 bagi  merujuk kepada sistem politik di Eropah pada zaman pertengahan  yang memeperlihatkan hubungan  yang saling memerlukan di antara tuan tanah (lords), orang biasa atau petani (Vassals) dan  tanah (fiefs). Dengan kata lain, dalam sistem ini petani bekerja dan menjadi tentera untuk melindungi seorang bangsawan dan sebagai balasan mereka boleh mengusahakan tanah bangsawan tersebut. Walaupun istilahnya  diambil daripada perkataan latin feodum atau feudum (fief), namun konsep  feudalism dan sistemnya bukanlah satu sistem politik formal  pada zaman itu.

4.        Pada   asasnya,  sistem  ini   memperlihatkan   hubungan peribadi yang erat antara tuan tanah atau lord dengan Vassal atau pemegang tanah (petani)  yang  disyaratkan untuk memberi taat setia kepada lordSatu  pihak akan    memberi  perlindungan  sementara  satu   pihak yang lain   memberi perkhidmatan ketenteraan demi  keselamatan  raja. Mereka juga di beri gelaran tertentu sebagai   mengakui  sumbangan   tersebut. Selain  aspek ketenteraan  dan keselamatan, pihak yang dikenali sebagai  feudotari juga  dikehendaki menyediakan keperluan tertentu  termasuklah membekalkan buruh untuk sistem kerah. Hubungan ini menentukan kedua-dua pihak  memperoleh faedah dan keuntungan bersama.

 
CIRI-CIRI MASYARAKAT FEUDAL

1.   Vassalage atau hubungan bertimbal balas yang di buat melalui persetiaan seseorang hulubalang sebagai pengikut (Vassal) kepada seorang hulubalang lain, yang di angkat sebagai tuan (lord) kepada Vassal tersebut disebabkan ia lebih kuat atau lebih berpengaruh. Hubungan ini merupakan satu bentuk hubungan persendirian yang bersifat kehormat kerana ia melibatkan perjanjian antara dua orang Individu yang terdiri daripada kelas hulubalang sahaja (Carl Stephenson, 1956:5-10). Melalui hubungan ini, seseorang Vassal dan lord akan diikat dengan fungsi dan tanggungjawab tertentu, iaitu memberikan ketaatan dan perkhidmatan, khususnya ketenteraan oleh Vassal kepada lordnya manakala lord pula akan berfungsi memberi penjagaan dan perlindungan kepada Vasalnya (Azmi Arifin, 2006:55).
2.   Ciri yang kedua ialah fief iaitu sejenis harta feudal, kebiasaannya berupa tanah yang diberikan oleh seseorang lord kepada vassalnya bertujuan untuk mengikat persetiaan tersebut. Oleh kerana tujuan utama pemberian fief adalah untuk mendapatkan khidmat ketenteraan, maka fief juga dikenali sebagai military fief ( Azmi Ariffin,1992:55). Bagi sesetengah pengkaji, fief tidak semestinya berupa tanah sahaja. Sebaliknya pangkat, jawatan, kedudukan dan sebagainya boleh juga diberikan sebagai bentuk fief. Menurut Strayer (1953) Terdapat golongan vassal yang tidak mempunyai sebarang tanah (landless knights) merupakan satu fenomena biasa yang dapat ditemui di Eropah Barat pada kurun ke-11. Kewujudan golongan ini meskipun semakin berkurangan tetapi tidak pula lenyap pada kurun-kurun selepasnya. Tugas lord ialah menjaga pengikutnya seperti menampung segala keperluan sara hidup pengikutnya kerana Vassal merupakan hulubalang sepenuh masa dan tidak terlibat dalam aktiviti ekonomi. Di Eropah Barat pada zaman pertengahan, kegiatan ekonomi yang berkaitan perdangangan telah terjejas teruk akibat kekacauan, serangan luar dan peperangan. Keadaan ini menyebabkan raja-raja yang berfungsi sebagai Lord menghadapi masalah untuk membayar upah dalam bentuk wang. Ketika itu hanya terdapat dua cara yang membolehkan seseorang Lord melaksanakan tugasnya. Pertama seseorang Lord akan menempatkan seseorang vassal di istana-istananya dengan menyedaikan makanan, pakaian, senjata atau sebarang keperluan yang dikehendakinya. Kedua ialah dengan memberikannya tanah sebagai sumber pendapatan yang boleh menampung keperluan hidupnya. Cara ini amat popular kerana dapat menarik minat golongan hulubalang yang berkuasa kerana ia melibatkan jaminan dari segi kedudukan politik, ekonomi dan sosial. Seseorang lord yang tidak mampu mengikat kesetiaan seseorang vassal melalui pemberian tanah biasanya akan mendapati dirinya kehilangan sokongan dan pengaruh, manakala seseorang vassal yang tidak memiliki sebarang tanah sekalipun mempunyai taraf sosial yang lebih tinggi daripada seorang petani kaya, tidak mempunyai peranan dari segi politik dan pemerintahan. Dengan itu mereka akan berada pada kedudukan sosial yang lebih rendah dalam hierarki kelas hulubalang atau bangsawan yang menguasai tanah. Dari sudut ini kita bolehlah mengatakan pemilikan tanah akan menentukan status dan kedudukan seseorang pada zaman feudal di Eropah Barat.
3.   Ciri Feudal yang ketiga ialah ketenteraan, iaitu wujudnya kelas-kelas hulubalang dan pelaksanaan khidmat-khidmat ketenteraan persendirian oleh vassal kepada lord sebagai balasan penerimaan fief. Oleh kerana tujuan asas hubungan vassalage-fief adalah mewujudkan satu organisasi ketenteraan yang efektif, maka perkhidmatan utama yang diberikan oleh vassal kepada lord ialah perkhidmatan ketenteraan, sedangkan perkhidmatan-perkhidmatan lain termasuklah yang melibatkan aspek-aspek ekonomi hanya merupakan perkhidmatan sampingan sahaja.Oleh sebab itu kebanyakan pengkaji sejarah feudalism bukan sahaja di Eropah Barat, malah di Jepun, China, India, Timur Tengah dan sebagainya berpendapat institusi feudal tidak mungkin wujud tanpa adanya aspek ketenteraan.Malah perkembangan feudalisme bukan sahaja dikaitkan dengan wujudnya organisasi ketenteraan semata-mata tetapi juga dikaitkan dengan kemunculan kelas-kelas tentera elit baru dan perkembangan teknologi peperangan. Misalnya perkembangan feudalism di Eropah Barat dikaitkan dengan kemunculan golongan knights dan chivalry, di Jepun kelas samurai dan knight-archer, cataphracts di Byzantium dan Iran, Chariot-fighters di Timur Tengah dan China dan sebagainya lagi (Strayer, 1953:9). Kemunculan kelas-kelas tentera elit baru yang lebih berdisiplin, terlatih dan mempunyai peralatan yang jauh lebih mahal telah menjadikan khidmat ketenteraan pada zaman feudal di eropah hanya mampu dimonopoli segolongan kecil kelas bangsawan sahaja, terutama dikalangan mereka yang menguasai tanah. Dari segi sosial perkembangan ini telah meningkatkan lagi jurang perbezaan yang sedia wujud antara kelas hulubalang dengan golongan rakyat biasa yang terikat dengan kegiatan pertanian.
4.   Ciri yang keempat ialah pemilikan kuasa pemerintahan dan hak-hak perundangan persendirian yang dimiliki dan dilaksanakan oleh lord terhadap vassalnya. Kuasa pemerintahan ini juga meliputi penduduk bukan vassal yang berada di atas tanah-tanah kepunyaan lord, yang biasanya dilaksanakan oleh sebuah kerajaan. Selain menguasai tanah, seseorang lord juga turut berkuasa ke atas sumber ekonomi, pentadbiran, pelaksanaan undang-undang, mengutip cukai, mengawal institusi ketenteraan dan institusi kewangannya.Pemusatan kuasa ketenteraan, polittik dan ekonomi ditangan seseorang lord telah menggalakkan perkembangan wilayah-wilayah feudal yang berdaulat dan berautonomi. Jika berlaku pertelingkahan antara lord dengan raja, golongan vassal yang terikat dengan perjanjian feudal biasanya akan memberikan kesetiaan penuh kepada lord yang berada di atasnya berbanding kepada seseorang raja yang tidak mempunyai hubungan secara langsung dengannya. Walau bagaimanapun corak hubungan ini bergantung kepada taraf sosial (prestij) dan kedudukan raja itu sendiri. Jika baginda seorang pemerintah yang berpengaruh, maka kedudukan lord mungkin sedikit sebanyak dapat dikawalnya. Tetapi kebiasaannya pada zaman feudal, kedudukan seseorang raja amat lemah dan baginda selalunya tidak mempunyai kekuatan untuk mengawal pembesar feudal. Bagi Strayer (1953) aspek pemilikan kuasa dan hak-hak perundangan golongan lord ini merupakan ciri feudalisme yang paling asas dan terpenting. Walau bagaimanapun tanpa wujudnya hubungan vassalage-fief dan perkembangan aspek ketenteraan, pemilikan kuasa dan hak-hak perundangan itu tidak mungkin diperolehi.
Berdasarkan keempat-empat ciri tersebut, feudalisme bolehlah ditakrifkan sebagai satu bentuk organisasi yang diwujudkan oleh satu bentuk hubungan persendirian yang diikat antara seseorang individu dari kelas hulubalang dengan individu daripada kelas hulubalang yang lain, iaitu antara lord dan vassal. Melalui ikatan vassalage - fief, seseorang vassal dikehendaki menjaga dan melindungi vassalnya.Susunan ini kemudiannya menjadi asas kepada keseluruhan struktur politik, pemerintahan, perundangan dan kemasyarakatan yang wujud dalam setiap wilayah atau negara yang dikawal oleh corak hubungan tersebut (Azmi Ariffin,2002: 59) 

SUSUN LAPIS MASYARAKAT FEUDAL
     
1.    Masyarakat feudal boleh dibahagikan kepada dua golongan iaitu golongan pemimpin dan golongan yang dipimpin.golongan pemimpin terdiri daripada raja, pembesar (bangsawan), dan golongan yang dipimpin ialah  rakyat atau petani. 

2.    Raja mempunyai kuasa mutlak dan berada dikedudukan  paling tinggi. Di bawah raja, terdapat beberapa lapisan para bangsawan yang menjadi vassalnya.

3.    Bangsawan lapisan pertama yang memiliki tanah (fief) secara langsung daripada raja dikenali sebagai tenants-in-chief.Bangsawan lapisan pertama itu membahagikan fief mereka kepada bangsawan lapisan kedua dikenali sebagai subinfeudation.

4.    Bangsawan lapisan kedua seterusnya mungkin membahagikan fief mereka kepada bangsawan lapisan ketiga.Setiap bangsawan berkuasa ke atas petani yang menetap di fiefnya.

5.    Kelas  paling bawah sekali ialah kaum tani (serf). Kaum tani semuanya miskin dan tidak berpelajaran. Hak-hak mereka sedikit tetapi tugas mereka banyak.Kerap kali mereka ini tidak diberi layanan yang memuaskan oleh tuan-tuan mereka.Hampir kesemua petani terdiri daripada golongan serf yang bertaraf  antara orang bebas dengan hamba.Peluang untuk menjadi kaya dan masyhur dengan usaha sendiri sangat tipis. Seseorang hamba akan menjadi hamba seumur hidup dan  anak-anak mereka juga akan menjadi hamba.


6.    Sebagai kesimpulannya dalam pemerintahan bercorak feudal ini, wujud satu hierarki yang jelas antara feudatories dan subfeudatories di bawah pemerintahan seorang raja.

SEJARAH STPM SISTEM MODULAR (PENGGAL)

PENGGAL 1
SEJARAH DUNIA (1500-1955)
 KERTAS 1 (940/1)

PENGGAL 2
SEJARAH ISLAM (500-1918)
KERTAS 2 (940/2)

KERJA KURSUS
KERTAS 4(940/4)

PENGGAL 3
SEJARAH MALAYSIA DAN ASIA TENGGARA(1800-2000)
KERTAS 3(940/3)




ASSALAMUALAIKUM DAN SELAMAT SEJAHTERA..BERSUA KEMBALI SETELAH SEKIAN LAMA MENYEPI DIRI DARIPADA MENYEDIAKAN BAHAN SEJARAH STPM YANG TERBARU.INN SHAA ALLAH SAYA AKAN MENERUSKAN PENYEDIAAN BAHAN-BAHAN RUJUKAN SEJARAH STPM SISTEM BAHARU UNTUK RUJUKAN PELAJAR-PELAJAR KHASNYA PELAJAR SMK KUBONG LIMBANG.MUDAH-MUDAHAN SAYA ADA KEKUATAN UNTUK MENYIAPKAN BAHAN RUJUKAN INI SECEPAT MUNGKIN UNTUK RUJUKAN PARA PELAJAR SEMUA.